BERSEDEKAH
WALAU DENGAN SEBIJI KURMA
SEMUA
orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding
kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa
namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan dan keghairahan bersedekah lebih
tinggi.
Rasulullah
SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma
sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari
‘Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang
sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah)
sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (Hadis nombor
972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Satu lagi
hadis baginda bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a. kata: Bahawa Rasulullah SAW
pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah
daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda,
Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah
buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis
nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Ini
bermakna amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan mereka yang
miskin. Penerima sedekah barangkali boleh memberi sebahagian daripada sedekah
yang diterimanya kepada orang lain yang lebih memerlukan sedekah.
Dengan
hanya sebelah buah kurma pun digalakkan bersedekah atau paling tidak pun
bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik, maknanya dalam
konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita tidak bersedekah walaupun
barangkali kita adalah merupakan orang sering diberi dan menerima sedekah.
Orang
Malaysia tidak akan membeli hanya sebiji buah kurma untuk berbuka puasa,
sebaliknya akan membeli sekotak dan akan dipilih daripada jenis yang baik,
malah akan dipilih pula kurma yang diimport.
Tok fakir
pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk berbuka puasa. Namun,
masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih untuk menjadi penerima
daripada memilih menjadi pemberi sedekah.
Ada yang
sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa satu keluarga
meminta sedekah bermula pada minggu ketiga Ramadan dan jumlahnya akan bertambah
bila 1 Syawal semakin dekat.
Daripada
setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10. Kalau sekadar
hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya lebih kecil, pasti
peminta sedekah akan tarik muka masam, malah siap dengan seranah lagi.
Kalau
pemberi sedekah bertindak balas dengan kata-kata kesat juga, maka hilanglah
pahala bersedekah. Anggap saja muka masam dan seranah penerima sedekah kita itu
sebagai suatu bentuk ujian. Malah ia akan mendatangkan bonus pahala kepada kita
kalau kita mampu bersabar.
Penerima
sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuas hati dengan jumlah
sedekah yang diberikan akan menerima seksa yang pedih.
Ini
dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: Orang munafik,
yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan
sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk
disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. maka orang-orang munafik itu
menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka dengan seksaan yang
pedih. (at-Taubah: 79)
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah
bersabda: Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu meremehkan pemberian
tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing. (Hadis nombor 988
daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Di
samping itu, pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung sedekah yang
diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui hadis baginda yang
bermaksud: Dari Asmai binti Abu Bakar r.a., katanya Rasulullah SAW
bersabda: Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah
akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikir kerana
Allah akan kikir pula kepadamu. (Hadis nombor 987 daripada Kitab
Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV).
No comments:
Post a Comment